Friday, October 31, 2008

ARTIKEL DANA WAKAF OLEH MOHAMMAD SALLEH ABDULLAH (CALON PHD)


Oleh : Mohammad Salleh Abdullah
Tarikh: 27 Oktober 2008

Guna dana wakaf bantu bukan Islam

Cadangan pengagihan zakat kepada rakyat bukan Islam bukanlah isu baru. Ia pernah timbul di hampir setiap negeri. Di Pulau Pinang, misalnya baru-baru ini, dalam satu kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Kampung Guar Jering, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah mencadangkan perkara yang sama untuk menarik hati pengundi bukan Islam.

Paling terbaru, di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor minggu lalu, wakil Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim mencadangkan supaya sebahagian peruntukan zakat disalurkan kepada bukan Islam bagi mengatasi masalah kemiskinan.

Dari segi hukum, usul tersebut tiada kewajarannya kerana agama Islam melarang agihan zakat kepada bukan Islam. Mengikut sarjana terkenal Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Kitab Al-Fiqh al-Islami wa-Adillatuhu al-Juz' al-Thani (terjemahan), Islam memperuntukkan bahawa zakat tidak boleh diberikan kepada orang kafir.

Mengikutnya, orang yang menerima zakat hendaklah seorang Islam kecuali mualaf menurut ulama Mazhab Maliki dan Hanafi. Tidak ada ulama yang mempertikaikan demikian.

Ini berdasarkan hadis Mu'adh Jabal r.a yang bermaksud: "Ambilkanlah ia (zakat) daripada orang kaya dan pulangkanlah ia kepada orang fakir mereka." Perintah ini menunjukkan zakat diambil daripada orang Islam dan diagihkan kepada orang Islam juga; tidak boleh kepada orang lain.

Jika terdapat tegahan atau larangan agihan zakat kepada bukan Islam, mengapa kita beriya-iya benar hendak menggunakan wang zakat yang ada. Kenapa tidak diusahakan sumber lain yang membolehkan dan mengharuskannya dari segi syarak.

Terdapat banyak cara, kaedah dan sumber lain yang boleh digunakan untuk mengatasi kemiskinan. Antaranya ialah melalui dana wakaf. Melalui dana wakaf adalah sesuai sumber kewangan dikumpul, digembleng dan digunakan dalam program pembasmian kemiskinan.

Bagaimanapun semua bergantung kepada bagaimana produk wakaf itu dipromosikan dan kedudukan lafaz/niat serta persetujuan pewakaf dalam kes membahagikan manfaat wakaf tersebut. Misalnya boleh dilancarkan produk wakaf tunai yang mana manfaatnya bertujuan untuk membasmikan kemiskinan untuk semua agama.

Wakaf Tunai ini boleh disasarkan pungutannya daripada orang Islam dan juga bukan Islam.

Keadaan ini dibenarkan kerana dari segi hukum syarak, orang bukan Islam diharuskan membuat wakaf dan menerima manfaat wakaf.

Mengikut Dr. Mustofa al-Khin dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (terjemahan), ulama-ulama Mazhab Shafie berpendapat harus mewakafkan harta kepada orang kafir sekiranya orang kafir itu adalah kafir zimmi yang tertentu selagi mana pewakaf tidak berniat jahat.

Perlindungan

Ini kerana memberi sedekah kepada orang kafir adalah harus, begitu juga dengan wakaf. Bagi orang yang membuat perjanjian damai (kafir mu'ahid) atau orang yang meminta perlindungan dengan kerajaan Islam (kafir musta'min) mereka ini dibenarkan menerima wakaf sebagaimana kafir zimmi.

Keharusan ini adalah selagi mana mereka berada di dalam negara Islam dan berpegang kepada perjanjian mereka. Tambahan pula dari segi sejarahnya mengikut kajian sarjana Barat seperti Stillman, Cizakca, Power, Kafadar, Nagamia, Yediyyildiz dan Singer, sebahagian besar daripada usaha-usaha kebajikan, perkhidmatan sosial dan pembasmian kemiskinan dalam dunia Islam pada zaman pertengahan disumbangkan melalui institusi wakaf.

Antaranya adalah penyediaan sekolah perubatan, hospital, kolam mandi (hammam), tempat penyediaan dan penyajian makanan, rumah-rumah tumpangan dan pusat-pusat perniagaan, dispensari bergerak, pusat rawatan kecemasan, perpustakaan, universiti serta Imaret atau pusat penyediaan makanan (public kitchen) yang merupakan entiti institusi wakaf yang sangat terkenal yang berperanan menyediakan makanan kepada orang miskin dan orang lain yang memerlukannya seperti pelawat dan pengembara tanpa mengira status agama.

Di Malaysia, misalnya mengikut data Johor Corporation (JCorp) hampir 30 peratus daripada pengguna-pengguna Klinik Wakaf An-Nur adalah terdiri daripada orang bukan Islam. Maka jika ternyata dana wakaf berkesan dan mampu membantu rakyat bukan Islam dan Islam mengatasi kemiskinan, kenapa masih tertumpu kepada dana zakat yang sememangnya mempunyai tegahan dan larangan.

No comments: